Apakah Sungai Nadi Kehidupan?

Projek ‘River of Life’ (ROL) atau Projek Sungai Nadi Kehidupan merupakan satu usaha oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermatlamat untuk mentransformasikan lapan sungai yang terletak di sekitar Lembah Klang . Tujuan projek ini adalah untuk mengembalikan sungai-sungai ini menjadi bersih dan segar, lantas mampu menjadi kawasan kepada pelbagai aktiviti rekreasi sekali gus meningkatkan nilai ekonomi di persekitaran tepian sungai.

Pengindahan sungai merangkumi 10.7 km Sungai Klang dan Gombak, dengan meningkatkan kualiti air dan nilai astetik sungai tersebut ianya dapat untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap alam sekitar kepada penduduk di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor terhadap tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar.

Sebagai contoh, bandar seperti London dan Sungai Thames, Seoul dan Cheonggyecheon River, serta Melbourne dan Sungai Yaraa yang dibina di sepanjang sungai yang bukan sahaja menyediakan keperluan pengangkutan dan rekreasi, malah ianya dipenuhi dengan pemandangan indah dan kini menjadi tarikan pelancong. Sungai-sungai ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sebuah bandar. Projek ini bercita-cita menjadikan sungai-sungai di Kuala Lumpur dan Selangor sedemikian agar ianya bersih dan indah.

Apakah S.U.K.A ?

S.U.K.A adalah singkatan bagi “Sungai Untuk Kehidupan Anda”. Singkatan S.U.K.A mula diperkenalkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada pelaksanaan ROL-POP Fasa 2 yang melibati Lembangan Sungai Bunus. Ia juga dikaitkan dengan kempen “Sungai untuk Dikenali”, “Sungai untuk Dikasihi” dan “Sungai untuk Dikekalkan”. Kempen ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan menanamkan sikap dan tingkah laku masyarakat yang prihatin terhadap penjagaan dan pemuliharaan sungai serta mewujudkan persahabatan mesra dengan sungai.

Program S.U.K.A adalah salah satu kempen di bawah Projek “River of Life Public Outreach Programme Phase 3B (Sg Ampang) & Phase 4 (Sg Gombak)” (ROL-POP 3B & 4) yang merupakan salah satu komponen di bawah Pembersihan Sungai yang diketuai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia. Kempen ini memberi tumpuan terhadap penjagaan dan pemuliharaan anak-anak Sungai Klang di sekitar kawasan Ampang dan Gombak yang meliputi 6 sungai iaitu Sg Kerayong, Sg Ampang, Sg Keroh, Sg Jinjang, Sg Batu dan Sg Gombak.

Segala aktiviti yang dianjurkan di bawah Program S.U.K.A adalah penting bagi mencapai matlamat utama ROL bagi meningkatkan kualiti air sungai Klang ke kelas IIB (sesuai untuk disentuh) menjelang wawasan 2020 serta memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (United Nations) iaitu Air Bersih dan Sanitasi (Goal 6), Hidupan di dalam air (Goal 14) dan Bandar dan Komuniti Mampan (Goal 11).

Apakah itu KLEAR?

KLEAR atau ‘Klang Learning, Engagement and Action for River’ merupakan salah satu komponen penglibatan awam di dalam projek Sungai Nadi Kehidupan yang memfokuskan dua sungai utama iaitu Sungai Kerayong dan Sungai Klang. Teras utama program ini adalah untuk menggerakkan dan memperkasakan penglibatan komuniti sekitar, antaranya institusi pendidikan, persatuan penduduk dan badan korporat serta masyarakat umum untuk mengurangkan impak ke atas sungai dengan menerapkan gaya hidup yang lebih lestari.

KLEAR juga berhasrat untuk menjadi penghubung antara organisasi yang berminat untuk bersama-sama menyumbang dalam projek ini agar objektif dan matlamat dapat dicapai. Segala aktiviti dan usaha KLEAR adalah berdasarkan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals (SDGs) oleh Bangsa- Bangsa bersatu; United Nation) demi mencapai tiga matlamat utama iaitu Bandar dan Komuniti Mampan (Goal 11) Pengunaan dan Pengeluaran Mampan (Goal 12), Kehidupan Bumi (Goal 15), dan Kerjasama Mencapai Matlamat (Goal 17).