YASMIN RASYID (ECOKNIGHTS)

Puan Yasmin Rasyid merupakan seorang ahli biologi marin yang sangat mencintai alam sekitar. Beliau mempunyai ijazah dalam bidang Biologi Marin dan minor dalam Agama Kontemporari dari Duke University, Amerika Syarikat. Puan Yasmin Rasyid juga berkelulusan Sarjana Bioteknologi dari Universiti Malaya dan kini beliau sedang mengambil Ph.D. di Universiti Malaya di bawah Fakulti Sains. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan sebagai pengiktirafan sumbangannya dalam bidang sukarelawan, pembangunan keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti yang mampan.

Puan Yasmin Rasyid merupakan pengasas Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights, sebuah organisasi yang berteraskan kelestarian alam sekitar. Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Pertubuhan NGO Alam Sekitar Malaysia, “Malaysian Environmental NGOs” (MENGO) sejak tahun 2013 hingga 2017 dan kini beliau berkhidmat sebagai Naib Pengerusi. Beliau juga berkhidmat sebagai mentor dan penasihat kepada beberapa badan kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan bidang keusahawanan mampan, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti. Puan Yasmin Rasyid juga merupakan pengasas bersama sebuah syarikat sosial yang menyediakan dan mempromosikan pertanian lestari, PopTani Asia.

Di dalam kesibukan beliau yang terlibat dalam banyak bidang, Puan Yasmin Rasyid juga terkenal dengan sokongan kuatnya dalam memperkasakan golongan wanita. Beiau merupakan penerima ‘Women of Future Awards’, yang mana ia merupakan anugerah pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dianjurkan oleh Rangkaian Wanita Masa Hadapan dan Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur. Puan Yasmin Rasyid mengimpikan untuk menganjurkan Pameran Seni karya-karya peribadinya pada masa hadapan.

WEN SHIN CHIA (GREEN YARDS)

Wen Shin Chia merupakan seorang graduan Sarjana Muda Sains Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia dan pengasas organisasi Green Yards. Green Yards merupakan sebuah perusahaan yang mencegah tabiat masyrakat dari membuang minyak masak ke saluran air pembentungan. Beliau menawarkan inisiatif kepada masyarakat dengan menawarkan sabun percuma sebagai pertukaran untuk setiap minyak yang terkumpul kepada pihak Green Yards. Kelemahan dalam menguruskan sisa minyak ini berpotensi mencemari sumber air seperti sungai. Oleh itu, Wen Shin Bersama Green Yards mempunyai visi dan misi untuk menukarkan sisa minyak ini menjadi produk yang boleh diguna semula seperti alat pencuci dan lilin. Di samping itu, Wen Shin turut menganjurkan bengkel untuk menggalakkan masyarakat membudayakan sikap kitar semula.

AU YONG TIEN SING (iCYCLE)

Au Yong merupakan Pengarah Pemasaran di iCycle Malaysia Sdn Bhd. Beliau telah berkhidmat selama 2 tahun dan mempunyai pengalaman yang luas tentang pengurusan sisa pepejal. Melalui iCycle Malaysia Sdn Bhd, beliau membawa misi untuk memberi nilai kepada masyarakat dengan menggalakkan mereka mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula sisa-sisa pepejal.

Antara pencapaian yang telah dikecapi oleh iCycle adalah berjaya menjayakan sistem pengurusan sisa di kawasan-kawasan perumahan dan juga memberi kesedaran dikalangan pelajar di sekolah sejak tahun 2016. Pada tahun berikutnya, 2017, iCycle berjaya menghasilkan data yang besar bagi menilai sikap individu dalam pengurusan sisa. Pihak iCyle turut menjalinkan kerjasama bersama Pihak Berkuasa Tempatan dalam program-program sosial korporat. Pada tahun ini, iCycle berjaya menggalakkan individu untuk mengitar semula, serta menggabungkan usaha-usaha komuniti untuk melahirkan komuniti bebas sisa dan juga menjana pemikiran 3R melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.