1 Julai 2018, Gombak: Sebuah bengkel finalis Anugerah Hijau 2018 untuk 8 sekolah finalis dan bertempat di Nur Laman Bestari Resort telah tamat setelah berlangsung selama tiga hari. Bengkel ini telah diadakan bertujuan untuk para finalis menambah baik projek ‘Sisa Sifar’ di sekolah mereka. Projek ini menekankan tiga komponen utama iaitu sisa pepejal, sisa organik dan minyak masak terpakai. Lapan buah sekolah menengah yang telah berjaya melepasi pusingan kelayakan ialah Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Lokman, Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Onn, Victoria Institution, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sentosa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan. Setiap sekolah telah menghantar empat orang pelajar untuk mewakili sekolah kebanggaan mereka. Pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan ini berumur dalam lingkungan 14 – 18 tahun dan diiringi oleh seorang guru pengiring.

Para peserta dan guru pengiring melapor diri di Ibu pejabat EcoKnights di TTDI

Pada hari pertama, para pelajar telah diberi peluang untuk mendengar taklimat daripada para juri pertandingan. Sesi dimulakan dengan pengenalan tentang latar belakang para juri, seterusnya, mendedahkan kepada para peserta tentang isu semasa alam sekitar dan juga sedikit tips tentang idea- idea baharu dalam penggunaan bahan terpakai bagi menghasilkan sesuatu yang baharu dan bermanfaat. Pendedahan ini bertujuan untuk mencetuskan idea bernas daripada generasi muda dan diaplikasikan kepada projek mereka justeru menjadi langkah permulaan kepada solusi masalah pencemaran yang dihadapi oleh Malaysia. Barisan juri bagi pertandingan Anugerah Hijau 2018 ialah Puan Hidayah daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Fong Chuen Far daripada syarikat ERE Consultant dan Encik Amlir iaitu Naib Presiden EcoKnights. Sesi juri ini diakhiri dengan pembentangan oleh pelajar dari UCSI dimana mereka mengajar finalis mengenai sungai dan bagaimana kita boleh melakukan sesuatu untuk memuliharanya.

Para juri Anugerah Hijau 2018: (Kiri) Encik Amlir Ayat, Naib Presiden EcoKnights, (kanan) Puan Hidayah daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Fong Chuen Far daripada ERE Consultant Group telah berkongsi bersama para finalis tentang pengalaman mereka.

Seterusnya, beberapa aktiviti telah dijalankan untuk berkongsi ilmu pengetahuan berkenaan pengurusan sisa. Bengkel kompos dan penggunaan efektif mikrob telah diajar oleh Cik Nurul Nabila Shohimi, Eksekutif Program, dengan menggunakan sisa organic. Pada hari kedua, para pelajar berpeluang untuk menimba ilmu bersama tiga mentor iaitu Wen Shin Chia dari Green Yards mengajar teknik penghasilan sabun pencuci menggunakan minyak masak terpakai, Puan Yasmin Rasyid iaitu Presiden EcoKnights mengadakan sesi perkongsian bersama para peserta dalam topik pengurusan sisa organik, dan akhir sekali, En Au Yong Tien Sing dari iCycle Malaysia Sdn. Bhd. berkenaan pengurusan sisa pepejal.

Gambar kiri: Para peserta belajar menyediakan sabun menggunakan minyak masak terpakai. Gambar kanan: Mr Au Yong daripada ICycle menerangkan tentang pengurusan sisa pepejal yang baik.

Yasmin Rasyid, pengasas EcoKnights bergambar bersama When Shin daripada Green Yards.

Selain daripada sesi ‘indoor’, para peserta juga telah melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang telah diketuai oleh pihak resort. Aktiviti fizikal ini bertujuan untuk mendekatkan diri para peserta dengan alam sekitar dan juga memastikan kondisi badan para peserta yang keadaan yang baik sepanjang program berlangsung. Antara aktiviti fizikal yang dijalankan ialah Night Walk, Eco Race, dan Water Obstacle.

Para peserta melakukan aktiviti fizikal bersama fasilitator

Pada hari terakhir bengkel para peserta telah diberi taklimat terakhir tentang bagaimana proses untuk menjalankan projek mereka di tempat seterusnya. Emirul Redzuan selaku coordinator Anugerah Hijau telah berkongsi pemarkahan serta format laporan bulanan kepada peserta. Kem ini kemudianya diakhiri dengan pemberian geran mikro sebanyak RM500 untuk setiap sekolah.

Para peserta dan guru bersama fasilitator mengambil gambar di akhir program.