Pada 27 Februari 2018, Anugerah Hijau edisi ke-10 telah dilancarkan di Dewan Taman Dusun Bandar Kuala Lumpur oleh Penolong Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, En Mohd Asmadi bin Haji Awang Senik. Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah wakil dari ERE Consulting Group Sdn Bhd, Cik Fong Chuen Far, dan juga Pengarah Program EcoKnights, En Fadly Bakhtiar. Seramai 35 wakil dari 35 buah sekolah yang terletak berhampiran lembangan Sungai Kerayong dan Sungai Klang telah diundang bagi menghadiri majlis perasmian ini.

Dalam ucapan alu-aluan En Fadly Bakhtiar, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pengetua mahupun perwakilan dari semua sekolah di atas sokongan yang diberikan terhadap pertandingan Anugerah Hijau yang ke-10. Anugerah Hijau merupakan inisiatif di bawah Projek Sungai Nadi Kehidupan “River of Life” (ROL), yang bertujuan menyemai perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dikalangan para belia dan juga merangsang daya kreativiti mereka dalam mengurangkan isu-isu alam sekitar. Dengan bertemakan “Pengurusan Sisa Pepejal”, pertandingan selama 8 bulan ini tertumpu pada sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang.

Penolong Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, En Mohd Asmadi bin Haji Awang Senik berharap program ini mampu memotivasikan pihak guru dan para pelajar dalam mengaplikasikan cara pengurusan sisa pepejal yang terbaik untuk jangka masa panjang dengan tujuan menambah baik tahap kauliti air dan mengurangkan pencemaran terhadap Sungai Klang.

Majlis pelancaran tersebut diteruskan dengan pembentangan dari pegawai EcoKnights, En Emirul Redzuan yang menerangkan secara lanjut berkenaan pertandingan Anugerah Hijau kepada kesemua wakil sekolah yang hadir. Maklumat lanjut berkenaan pertandingan ini boleh di akses di laman web rasmi Anugerah Hijau 2018 http://anugerahhijau.my/

Penolong Pengarah Jabatan pengairan dan Saliran, En Mohd Asmadi bin Haji Awang Senik
Pengarah Program EcoKnights, En Fadly Bakhtiar
Saudara Emirul Redzuan selaku coordinator menerangkan terma dan syarat-syarat pertandingan
Barisan pengetua sekolah yang hadir Majlis pelancaran Anugerah Hijau.